Assalamualaikum admin. Lately aku rasa lelah sekali tentang permasalahan rumahtangga. Aku sedar sangat berdosa aku meluahkannya pada orang lain. Tapi aku lelah sangat-sangat. Tidur dan jaga semua rasa penat sangat. Aku dah bernikah nak masuk tahun ke 4. Pasangan aku adalah pilihan keluarga sepenuhnya. Mengenalinya selepas bertunang, aku tak sempat mengenalinya sepenuhnya sehinggalah aku terperangkap dalam kisah derita yang sangat panjang ini.
Awal pernikahan seawal hari pertama aku telah pun mulai di uji. Tuhan uji aku dengan suami yang tidak punya kemampuan nafkah batin. Namun kerana aku dididik dengan agama oleh keluarga, aku menerimanya seikhlasnya sebagai ujian Allah. Selain kehidupan aku yang aku jaga untuk menjauhi ikhtilat jadi aku tidak menjadikan nafsu itu matlamat kehidupan. Hanya pertengahan tahun pertama barulah dapat kami bersama namun kesembuhan itu hanya seketika.
Tapi aku masih memegang prinsip ujian Allah itu pasti ada sinar akhirnya,walau aku tahu aku berhak menuntut fasakh, namun kerana dia pilihan ibubapa serta Allah. Aku kekal dalam atitud “bersabarlah hati”. Namun kerana tidak mengenalinya, Allah sebenarnya telah menunjukkan kepada aku siapa suamiku, namun aku yang malas berfikir negative sehingga usia pernikahan ini memakan tahun juga.
Dalam situasi dia tidak mampu memberikan nafkah zahir batin, dia curang dengan menganyam kembali cinta dia dengan ex dia dulu yang merupakan seorang guru. Kantoi bila guru tersebut menyerang aku via whatsapps dan call. Kata nista cercaan diberikan kepada aku. Kononnya aku tidak pandai layan suami, terlalu mementing kerja sehingga suami aku mengalami ketidak mampuan sek sual.Terkedu terpempan dan sangat terluka, soal kelemahan dia bagi aku aib dalam selimut yang sepatutnya dilindungi namun dia jaja kepada ex dia.
Aku terlalu tertekan , sedih dan kecewa. Aku buat keputusan yang aku tahu berdosa bila aku keluar dari rumah. Aku drive kereta tanpa tujuan, patah hati sangat. Aku memang sibuk dengan kerja, namun dalam kesibukan berkerja aku tetap bangun sebelum subuh untuk siapkan sarapannya dan bekal dia pergi kerja. Setiap hari selewat mana dan sepenat mana aku tetap masak untuknya. Segala keperluannya aku masih tetap jaga walau aku sibuk. Malah aku terpaksa berkerja keras kerana aku yang menanggung semua perbelanjaan dapur.
Sejak awal pernikahan,suami aku punya kotmitmen hutang bank yang sangat tinggi sehingga tiada sisa baki gaji. Aku menyelidiki untuk apa dia berhutang yang banyak sedangkan tiada pun harta dimiliki. Dia berterus terang, dia buat hutang puluhan k hanya untuk support ex pertama dia untuk dapatkan rawatan untuk kurus dan putih. Sebab asalnya ex dia tu gemuk dan hitam tapi sekarang dah cantiklah atas pelaburannya. Tapi akhirnya dia mendakwa dia ditinggalkan.
Saban tahun akan muncul wanita wanita yang merupakan ex di zaman silam dia datang menganggu kehidupan kami sehingga aku serah padanya untuk melepaskan aku dan pergilah kepada semua yang mengejarnya. Namun dia tetap enggan, dan dia membuat lafaz ta’alik jika dia berhubung dengan mana-mana perempuan lagi akan jatuh talak satu ke atas diri aku. Aku tak rasa ia hukuman namun satu jaminan sebuah pengakhiran dari penderitaan.
Tahun ini, tahun ke4 pernikahan kami, tanpa satu tahun pun kami tidak diganggu oleh ex ex dia. Mungkin dah terlalu lama dan lali, aku mula berfikiran negative.Jika dulu kerana aku seorang terdidik dengan agama formal dan unformal, aku lebih suka berbaik sangka husnuzon. Tapi bila dah terlalu kerap, aku mula suuzhon dengan apa berlaku. Aku ambil keputusan menyiasat sedalam dalamnya setiap wanita yang merupakan ex dia yang menganggu rumahtangga kami.
Walau selepas ta’alik dia sememangnya tidak lagi melayan perempuan2 tersebut.
Dari syak wasangka yang muncul kerana sangat pelik sikap istiqomah beberapa wanita ini menganggu rumahtangga kami, terbongkarlah keaiban masa silam yang menjadi dendam mereka rupanya. Ke semua wanita ex suami aku yang muncul dalam hidup berumahtangga kami ini, bukanlah calang calang wanita. Kesemua mereka adalah graduan uum, upsi, utm, uia dll. Namun Alhamdulillah tiada seuniversiti dengan aku jika tak agak memalukan juga.
Hasil siasatan aku, yang sangat sukar ambil masa panjang, aku dapat maklumat bahawa zaman bujang suami aku, adalah buaya darat yang sangat playboy. Wanita bagaikan permainan. Dan kesemua wanita yang menjadi teman wanita dia adalah habuan nafsunya. Tak kiralah wanita itu guru, ustazah, jurutera, siswi dan lain-lain. Benar itu masa silamnya! Dia juga mengakui keaiban masa silamnya, dan merayu aku melupakan.
Hati aku? terluka sangat kecewa dan kosong. Aku orang yang berjuang ke sana ke sini, menyokong dia untuk mengubati kembali kemampuan sek sualnya, yang disahkan pakar angkara diabetis , rupanya bukan hanya kerana diabetis namun aku yakini ini adalah kifarah Allah buatnya dan ujian buatku. Aku seorang wanita naif, yang menjaga ketat batasan pergaulanku ketika remaja dan bujang, diuji Allah seorang suami yang pernah tersasar jauh dan serba serbi kekurangan. Ia ujian hati yang sangat besar.
Aku melawan perasaan sedih terlampau, tekanan dan luka yang paling parah, kerana aku tahu ia kesilapan silam dia.
Aku dirayu jangan pernah tinggalkan dia, kerana katanya aku yang membuat dia lebih kuat berubah dan istiqomah bertaubat. Dia mendakwa jika dia memilih salah seorang dari masa silamnya, dia pasti akan hanyut terus. Aku? keliru dan terus menahan kesedihan, aku masih lagi melayan pakai minumnya, aku masih lagi menghormati dia sebagai suami.
Namun kesedihan dan kelukaan ini buat aku kehilangan deria rasa hati, kosong dan sangat sakit sehingga tidak punya apa-apa rasa. Aku sedar aku tidak berhak menghukum masa silamnya,ini juga ujian Allah buatku. Namun admin dan semua, aku sangat sangat berharap doa dari kalian. agar aku terus tabah melalui semua ini dan terus yakin pada ketentuan Allah. Dia yang maha mengetahui sesuatu yang buruk pada manusia itu mungkin sesuatu yang baik pada pandanganNya