Assalamualaikum Admin, Mohon sembunyikan identiti saya. Saya merupakan seorang duda yang mempunyai dua orang cahaya mata. Sudah dua tahun penceraian saya. Namun demikian, saya masih tidak mampu melupakan apa yang bekas isteri telah lakukan kepada saya. Mungkin ada silap saya yang saya sendiri tidak nampak. Namun kesalahan yang dilakukannya terlalu besar sehingga mertua meminta saya melepaskan isteri saya. Saya di bawa sendiri oleh mertua untuk bercerai agar tiada istilah ‘dayus’ terbeban di bahu saya.
Namun demikian, saya masih lagi tidak dapat menerima takdir Ilahi pada saya. Pada waktu malam, saya selalu sahaja terbangun kerana memikirkan kenapa saya dihukum begini. Saya tidak merokok, dadah jauh sekali, bukan kaki perempuan , sembahyang pun tidak pernah saya tinggalkan. Namun saya diuji sebegitu hebat. Pelbagai cara saya gunakan untuk mendidik bekas isteri dahulu. Teguran, berdakhwah, membawanya ke majlis ilmu agama. Namun masih tiada perubahan. Sehingga semua kerja rumah, saya yang lakukan, termasuk menguruskan anak, masak dan menguruskan rumah. Adakalanya lelah menjengah, tetapi saya kuatkan diri untuk mempertahankan rumah tangga ini.
Namun akhirnya, Allah SWT menunjukkan juga kekhilafan yang berlaku dan takdir kami untuk berpisah. Saya tidak kesal kerana penceraian ini, tetapi kesan dan luka kerana apa yang pernah dilakukan dahulu terlalu dalam. Menyebabkan saya berasa serik dan takut. Adakalanya pada waktu pagi dalam waktu qiam, saya termanggu sendiri. Bacaan al-quran tidak mampu menenangkan hati saya yang retak sehingga pada hari ini.
Untuk pengetahuan para pembaca budiman, saya seorang berkerjaya.
Jikalau di luar, memang mereka melihat saya ini tiada masalah, tetapi hanya ALLAH SWT betapa menangisnya hati saya. Saya sendiri tidak pernah mengabaikan nafkah zahir dan batin pada isteri. Malah tempat tinggal telah saya sediakan. Kepada penghancur rumah tangga saya, saya doakan anda menemui hidayah ALLAH SWT. Saya juga mohon agar pembaca sekalian boleh mendoakan kesejahteraan saya dan anak-anak dunia akhirat. Saya cuba untuk mencari pengganti, namun masih tidak berjaya dan saya amat risau sekiranya tiada orang yang sanggup menerima status dan anak saya.
Memang benar saya memiliki segalanya, namun hanya ALLAH SWT sahaja tahu betapa sedihnya saya diuji begini.
Saya masih tidak boleh terima alasan bekas isteri ‘awak terlalu baik untuk saya’. Allahuakbar. Kepada mereka yang menganggu rumah tangga orang lain. Cubalah lihat kesannya kepada orang yang anda semua ganggu. Saya sebagai lelaki, walaupun telah dua tahun cuba untuk lupakan, namun kesannya masih dalam dan sukar terubati.
Sehingga ke saat ini, saya masih lagi tiada pengganti kerana tiada sesiapa yang tahu tentang penceraian ini melainkan keluarga mertua. Kosong dan rasa diri tiada erti. Melangkah dalam kehidupan seharian juga terasa sepi. Saya tidak pernah menyalahkan bekas isteri, tetapi diri saya sendiri yang mempuyai 1001 kelemahan. Masih adakah orang yang menerima duda yang mempunyai dua orang anak dan saya adalah seorang imam yang pernah gagal dalam mendidik amanah yang diberikan ALLAH SWT. Insan Alpa.